லனாட்ரோன் தமிழ்ப்பள்ளி : ஜோகூர் மாநிலத்தின் முதல் தமிழ்ப் பள்ளி
 SEKOLAH TAMIL LANADRON : SEKOLAH TAMIL TERTUA NEGERI JOHOR

PENENTUAN TUGAS JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH

PENENTUAN TUGAS JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH

Pendahuluan
Bagi membincang, merancang, melaksana dan menilai seluruh program pendidikan di sekolah, khususnya pengajaran dan pembelajaran adalah amat perlu bagi sekolah mewujudkan:

  1. Jawatankuasa Kurikulum Sekolah
  2. Panitia Mata Pelajaran

TUGAS JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH (JKS)
Objektif
1.Jawatankuasa ini hendaklah dengan secara serius memainkan peranan berusaha mencapai objektif:
2.Mewujudkan suasana pengajaran/pembelajaran yang boleh mendorong murid secara berkesan meningkatkan mutu pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.
3.Membuat kajian dan nilaian tentang prestasi pembelajaran murid dengan tujuan mencari jalan mengatasi kelemahan untuk mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
4.Merancang strategi pengajaran/pembelajaran yang sesuai dengan keadaan sekolah berasaskan kepada kehendak-kehendak sukatan pelajaran dan kemudahan-kemudahan yang ada/akan diadakan di sekolah.
5.Menguruskan penerbitan-penerbitan berkala untuk kepentingan pembelajaran di sekolah.
Pentadbiran

  1. Guru Besar akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah, dengan memberi perhatian yang lebih berat terhadap tugas dan aktivitinya. Setiausaha dengan sendirinya disandang oleh Guru Penolong Kanan I dan ahli-ahli hendaklah terdiri daripada guru-guru kanan mata pelajaran.
  2. Jawatankuasa Kurikulum Sekolah hendaklah bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun, iaitu pada awal dan pertengahan tiap-tiap penggal persekolahan. Mesyuarat sebaik-baiknya membincangkan kertas kerja yang dibincangkan oleh panitia-panitia yang berkaitan dengan program pendidikan sekolah. Peringatan mesyuarat itu hendaklah dikirimkan kepada Jawatankuasa Kurikulum Daerah dan Negeri.

Kegiatan
Jawatankuasa kurikulum Sekolah akan melaksanakan segala kegiatan yang berhubung dengan perkembangan kurikulum di sekolah. Antara kegiatan-kegiatan ialah:

  1. Menganjurkan kursus-kursus dan latihan-latihan bagi guru-guru sekolah (in house training).
  2. Mengelolakan bengkel-bengkel untuk membina bahan-bahan bantuan mengajar, menyusun rancangan mengajar, menyelaras pengajaran/pembelajaran, membina ujian, menjalankan penilaian dan sebagainya.
  3. Menganjurkan ceramah-ceramah khas kepada murid-murid seperti cara menjawab soalan lisan, penulisan dan Kefahaman dalam UPSR yang membantu murid dalam pembelajaran dan peperiksaannya.
  4. Menganjurkan pertandingan-pertandingan seperti kuiz, syarahan, perbahasan, forum dan sebagainya.
  5. Menjalankan kajian-kajian mengenai aspek-aspek pengajaran/pembelajaran yang tertentu dengan tujuan mencari punca-punca kelemahan murid-murid dan berusaha memperbaiki kelemahan tersebut.
  6. Merancang kerja-kerja pemulihan bagi murid-murid yang sangat lemah pencapaian dalam akademik.

Tugas
  1. Bertanggungjawab untuk meninggikan mutu pencapaian akademik murid ke tahap yang paling maksimum
  2. Memastikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berjalan mengikut sukatan dan perancangan yang telah ditetapkan.
  3. Memastikan semua buku-buku teks dan buku tambahan yang digunakan adalah wajar dan sesuai serta memenuhi sebagaimana yang dikehendaki oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan.
  4. Mengadakan program-program tambahan yang boleh meningkatkan prestasi akademik murid-murid.
  5. Melengkapkan alat bantu mengajar yang bersesuaian, berkesan dan mencukupi.
  6. Menyelesaikan semua masalah yang timbul berkait dengan pengajaran dan pembelajaran dari segi fakta, istilah dan sebagainya.
  7. Meningkatkan kesedaran di kalangan murid akan kepentingan pelajaran dalam penghidupan.
  8. Mengadakan hari-hari atau majlis yang berbentuk akademik seperti hari ucapan dan penyampaian hadiah, majlis bahas, peraduan berbalas pantun dan sebagainya.